Saturday, March 20, 2010

Super Bike


PEMINAT motosikal berkuasa tinggi pastinya teruja apabila melihat model terbaru BMW S1000 RR yang dilancarkan BMW Group Malaysia melalui anak syarikatnya, BMW Motorrad untuk pasaran tempatan, minggu lalu.
Selain model beridentiti superbike itu, BMW Motorrad turut melancarkan empat lagi model lain antaranya BMW R1200 GS, BMW R1200 GS Adventure, BMW R1200 RT dan the BMW F800 R untuk peminat motosikal mewah.
Pengarah Urusan BMW Group Malaysia, Geoff Briscoe, berkata pihaknya berjaya menjual 183 unit motosikal pada tahun 2008 dan jumlah berkenaan meningkat sehingga 225 unit tahun lalu walaupun menghadapi krisis ekonomi global.
"Bagaimanapun, syarikat yakin pasaran motosikal berkuasa tinggi di negara ini semakin kukuh dan memperkenalkan lima model baru serentak," katanya.
Hadir sama Pengurus BMW Malaysia Motorrad, Fazli Shukor.
Briscoe berkata, pembangunan terkini menyaksikan BMW Motorrad berjaya mencipta sebuah jentera yang bukan sahaja untuk tunggangan harian, tetapi turut menawarkan ciri tunggangan yang tiada tandingan.
"Setiap motosikal BMW yang dilancarkan ini tidak pernah berkompromi dengan kualiti premium, reka bentuk terkini dan teknologi terbaru dalam dunia permotoran," katanya.
Berkuasa 999 cc, BMW S1000 RR menawarkan 93 hp pada 13,000 rpm dna tork setinggi 112 Nm. Selain itu, penggunaan injap titanium membolehkan motosikal itu dipacu sehingga 14,200 rpm.
Malah, teknologi itu juga berjaya mengurangkan berat model Superbike ini sehingga 59.8 kilogram menjadikannya lebih ringan, pantas dan berkuasa.
Paling menarik, ruang kemasukan udara terletak di antara lampu hadapan berkembar berbeza bentuk berjaya meningkatkan prestasi enjin sehingga tujuh hp lebih tinggi apabila memecut melebihi 200 km/j.
Selain itu, BMW S1000 RR didatangkan dengan sistem elektronik termaju dikenali BMS-KP (BMW Engine Management with Anti-Knock Control) yang direka sepenuhnya oleh jurutera BMW Motorrad.
Sementara itu, Fazli berkata kelahiran model superbike itu sejajar matlamat BMW mementingkan gaya, pemanduan dinamik dan ciri keselamatan dipertingkatkan.
"BMW S1000 RR adalah model superbike yang memberi kepuasan tunggangan kepada penggemar motosikal berkuasa tinggi.
"Selain itu, pengenalan model lain seperti BMW R1200 GS dan BMW R1200 GS Adventure berjaya mempertingkatkan lagi keupayaan model GS yang terkenal kerana kelasakan mengharungi perjalanan jarak jauh sejak lebih tiga dekad lalu," katanya.
Dua model Grand Touring Enduro itu dijana enjin Boxer 1,170 cc DOHC dengan tujahan kuasa sehingga 110 hp pada 7,750 rpm dan tork setinggi 120 Nm.
Model lasak BMW R1200 RT turut menerima nadi sama dan menawarkan tunggangan bandar yang lebih lancar dan selesa.
Satu lagi model naked, BMW F800 R edisi Chris Pfeiffer menjadi satu-satunya model Sport Roadster dengan enjin 798cc berkuasa 87 hp pada 8,000 rpm dan tork setinggi 86 Nm.

No comments:

Post a Comment